Tuesday, April 22, 2014

Realiti Itu Sekarang

Realiti.

Luahan perasaan melalui tulisan. Peringatan dan nasihat melalui tulisan. Memberi kesan dan makna kepada hidup manusia melalui tulisan. Berbulan bulan ditinggalkan bersawang, tanpa perhatian, tanpa kesan. Kini kembali, terdesak, empangan minda penuh hampir pecah. Hati bergelojak mahu meletup, setiap detakan jantung menjerit jerit ingin menyatakan bicara. 

Lumrah manusia dicampak, ditindih bertalu talu dengan ujian. Yang kuat akan berjaya, keluar dari kepompong masalah jauh lebih kuat, lebih indah dan bebas. Yang lemah terbiar, terkulai tewas, mati sedikit demi sedikit. 

Terkadang tertanya sendiri, mengapa kejamnya realiti? 

Sedang anda membaca artikel ini, berhenti sebentar dan berfikir. Apa realiti sebenar kita? Teruskanlah membaca, walau dalam realiti sebenar, kita semua tertekan. Dikekang oleh terhadnya kapasiti manusia, kemampuan kita, dibelenggu dengan bimbang dan risau dengan realiti. 

Rasa takut dan tidak tenteram daripada perkara yang telah kita buat, perkara yang patut kita buat sekarang dan perkara yang akan kita buat di masa hadapan. 

Diam. Lihat dan rasakan realiti sebenar anda. Lihat persekitaran anda. Pejam mata dan analisa hati dan minda. Kita bimbang tentang perjalanan masa hadapan. Kita terus berfikir, dan berfikir, tentang perkara yang tidak patut diberi ruang. Kita abaikan semua yang menyayangi kita, hati dibanjiri cinta sehingga sampai ke satu tahap cinta yang dulunya mahal menjadi murah. Ya, deflasi cinta. 

Kita rasakan diri seakan akan tidak mampu, hampir lemas dan terkapai kapai. Kita rasakan yang diri tidak cukup baik dan tidak layak. Bagai siaran ulangan iklan di kaca televisyen yang dimainkan berkali kali; setiap tutur kata, setiap perbualan, setiap pertemuan yang sepatutnya menjadi dorongan keikhlasan berubah menjadi bebanan. 

Kita rasakan itu kebenaran, kita anggap itu realiti walaupun hakikatnya cuma di dalam minda kepala. Realiti sebenar adalah kita patut bersyukur dengan apa yang sedia ada. Apa yang dilontarkan sebagai nikmat, bersyukurlah atas cinta dan kasih sayang. Bersyukurlah dengan perkara yang tidak berlaku ke atas kita, dan perkara yang tidak mampu kita capai. 

Yang paling berharga, apa yang kita ada cuma waktu sekarang. Hargai semua benda yang anda ada sekarang, spesifik pada waktu ini. Bersyukurlah dengan realiti. 

Cinta dan kasih sayang yang anda beri dan terima, milik anda sekarang. Masa hadapan anda belum tertulis. Kita bukan mangsa! Apa yang berlaku berpunca dari pilihan kita! Salah atau betul tak pernah menjadi persoalan. Jangan pernah ditanya kenapa. Kita sendiri yang memacu hidup, tangan kita sendiri yang menghalakan tujuan. 

Jangan pernah abaikan realiti sekarang, waktu ini, semata mata bimbang dengan masa hadapan. Rasa cinta dan kasih sayang yang anda beri dan terima. Nikmat dan dugaan yang anda ada pada waktu sekarang. Fikirkan dan hargai setiap perasaan. Kerana esok, mungkin semua berbeza. Kerana setiap satu realiti itu unik. Takkan pernah ada dua realiti yang sama. 

Itu definisi realiti untuk aku. Hari ini aku wujud, esok lusa mungkin tidak lagi. Aku terima dan aku hargai realiti. Aku telan cabaran dan cuba pamerkan senyuman. Walaupun hati semakin mati, terhakis dari asid perasaan. 

Aku kekalkan arah tujuan dan teruskan usaha. Aku bina semula apa yang termusnah dari pacuan aku sendiri di kerusi pemandu. Aku hargai cinta dan terus taburkan cinta. 

Moga terus kuat mengharung gelora pemusnah semangat. 

Salam alaik~

=)

No comments:

Related Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...